SHAH ALAM, 19 APRIL: Aktivis Peter Chong akan dipanggil Polis Selangor dalam waktu terdekat bagi membantu siasatan kes Pastor Raymond Koh Keng Joo yang dilapor hilang sejak Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC, Fadzil Ahmat berkata, tindakan itu dibuat ekoran terdapat laporan sebelum ini yang mendakwa bahawa beliau mempunyai maklumat berhubung kehilangan Pastor Raymond, 62.
“Kami difahamkan beliau mempunyai maklumat berhubung kehilangan pastor, jadi kami perlu siasat dan panggil dia untuk membantu sebab kami masih terus menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond.
“Walaupun pasukan petugas masih menjalankan (siasatan), jadi apa sahaja sumber yang ada kita akan siasat,” katanya dipetik Bernama.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes Pastor Koh sebagai kes dilarikan berikutan tidak melibatkan tuntutan wang tebusan.
Selain Pastor Raymond, lima individu lain turut dilaporkan hilang termasuk Peter, aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth.
Pada 16 April lalu, Peter yang didakwa hilang sejak 6 April bagaimanapun selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau yang juga pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa tiba dari Pattaya, Thailand kira-kira pukul 12 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air.
-AA-