Categories
KENYATAAN MEDIA

KPDNKK jangan lepas tangan, rakyat semakin terbeban

OLEH G MANIVANAN

Sememangnya berulangkali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan bahawa kementerian itu hanya mengawal harga bagi enam barangan keperluan sahaja.

Tetapi apa yang berlaku sekarang, kenaikan harga barangan keperluan lain dilihat mendadak sehingga ada yang tidak masuk akal harganya. Takkan KPDNKK hendak membiarkan begitu sahaja?

Tidakkah kerajaan Umno-BN seharusnya bertanggungjawab dengan adanya pelbagai Akta seperti Akta Antipencatutan dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

KPDNKK sepatutnya memikirkan permasalahan rakyat, terutama bagi barangan keperluan harian dan makanan. Kerajaan Umno-BN hendaklah memastikan barang-barang ini tidak boleh naik dengan sewenang-wenangnya.

Takkan hendak tunggu pada musim perayaan sahaja untuk mengawal harga barang dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga?

Melihat kepada trend terkini, kita tidak perlu menunggu ahli ekonomi untuk menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia. Rakyat sendiri sebenarnya boleh merasai keperitan ekonomi dengan terpalit skandal 1MDB.

Adakah nanti rakyat akan dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik seperti ‘kalau harga gula naik, jangan makan gula nanti kena diabetis’, ‘kalau minyak masak naik, jangan makan makanan bergoreng’ dan sebagainya. Begitulah alasan demi alasan yang pentadbiran Umno-BN bagi untuk menjustifikasikan ketidakcekapannya.

Ini ditambah pula dengan faktor kelemahan berterusan nilai ringgit. Walaupun rakyat berbelanja tetapi duit Malaysia sekarang tidak ubah seperti ‘duit Jepun zaman perang’ dahulu.

Tahun 2017 amat mencabar bagi rakyat Malaysia apabila terpaksa berhadapan dengan ringgit yang lemah dan harga makanan yang semakin mahal.

Salam Reformasi

#G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar