PETALING JAYA 9 APRIL: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua dari Semantan ke Kajang sejauh 30 kilometer melibatkan 19 stesen dijangka beroperasi sepenuhnya Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata ia adalah kesinambungan laluan fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan yang beroperasi Disember tahun lepas.
“Mengikut perancangan MRT Corp, laluan fasa kedua dijangka dilancarkan Julai ini dan laluan dari Semantan ke Kajang akan dibuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Rapid Rail di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara di sini, hari ini, lapor BERNAMA.
Mengenai fiesta itu, beliau berkata ia merupakan inisiatif Rapid Rail bagi menceriakan stesen LRT agar orang ramai menjadikan perkhidmatan itu sebagai pilihan utama pengangkutan awam.
Katanya pelbagai aktiviti menarik dalam fiesta diadakan setiap hujung minggu sepanjang April ini antaranya jualan makanan, persembahan hiburan dan gerai selebriti tempatan.
Lebih 60 vendor menyertai fiesta itu yang bermula jam 10 pagi hingga 10 Malam.
=EZY=