Categories
EKONOMI SELANGOR

Made In Selangor buka peluang usahawan luas pasaran

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 23 APRIL: Made In Selangor anjuran HIJRAH Selangor membuka peluang 40 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk tempatan secara meluas.

Pengasas Callaliry Accessories, Nadira Mohamad, 26, berkata program itu membantu beliau yang baru setahun dalam industri perniagaan mengembangkan perniagaan aksesori buatnya sendiri.

“Membuka booth di dalam antara salah satu pusat membeli belah ternama menjadi peluang besar buat kami usahawan kecil untuk lebih dikenali disamping dapat menaikkan jenama kami.

“Ini juga merupakan pertama kali saya sertai program anjuran Kerajaan Negeri, diharap program ini diteruskan ke masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala Pengasas Spluge Bag, Farhana Shahirah Onn, 27, berkata beliau sangat teruja wujudnya program Made In Selangor yang membantu usahawan IKS menembusi Pusat Beli Belah One Utama.

“Program ini sangat bagus untuk usahawan muda seperti saya yang baru melangkah ke alam perniagaan dengan platform diberi Kerajaan Negeri amat menggalakkan.

“Saya gembira dan teruja diberi peluang seperti ini disamping turut memberi sokongan pada kami adalah Raja Muda Selangor sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Cindy Lai, 43 berkata, beliau tidak tahu sebelum ini wujud pelbagai produk buatan tangan tempatan yang unik, kretif dan sedap.

“Barangan yang dijual juga jauh lebih murah berbanding pasar raya.

“Semestinya saya mencari dan membeli dari mereka lagi,” katanya yang baru selesai membeli produk makanan dari salah sebuah booth di Made In Selangor.

Pengunjung, Noriza Sulaiman, 41 berkata, medium itu bagus membantu mengetengahkan produk tempatan di pasaran lebih besar.

“Sebenarnya produk tempatan lebih bagus dari produk import. Barangan mereka sebenarnya lebih berkualiti berbanding barangan luar yang jauh lebih mahal.

“Jadi saya menyokong inisiatif Kerajaan Negeri ini dan berharap ia berterusan membantu peniaga tempatan kita dan secara tidak langsung membantu perkembangan ekonomi itu sendiri,” katanya.

=EZY=