Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Mahasiswa perlu seimbang akademik dan kokurikulum

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 APRIL: Mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) seharusnya seimbang dari segi akademik dan aktif serta cergas dalam bidang kokurikulum, kata Dekan Hal Ehwal Pelajarnya, Amidi Abdul Manan.

Beliau berkata, semua kelab dan persatuan di UNISEL perlu memainkan peranan proaktif bagi mencapai tujuan itu.

Katanya, penganjuran aktiviti berkaitan juga perlu divariasikan bagi menarik penyertaan maksimum siswazah UNISEL.

“Diharap pelajar dapat sentiasa aktif dan turun padang menyertai aktiviti kelab dan persatuan.

“Aktiviti ini sebenarnya merupakan tunjang dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Pengenalan Kelab dan Persatuan 6.0, di UNISEL, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata, program memasuki kali keenam itu diadakan untuk memberi pendedahan mengenai kelab dan persatuan di UNISEL, khususnya kepada siswazah tahun pertama.

“Semenjak UNISEL ditubuhkan, jumlah kelab dan persatuan juga semakin meningkat setiap tahun di kedua-dua kampus.

“Oleh itu, pelajar harus bijak mengambil peluang ini untuk mengetengahkan bakat masing-masing,” katanya.

Antara kelab dan persatuan yang ada termasuk Jemaah Seni, Indian Cultural and Language Society, Acounting Club, Predators Rugby Club, Taekwando dan Bola Jaring.

Selain mendapat penerangan secara spesifik, siswazah juga boleh terus mendaftarkan diri di bawah kelab dan persatuan dipilih.

Program berlangsung selama dua hari bermula semalam dan akan berakhir pada hari ini (11 April 2017).

=EZY=