OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 3 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan ke Jordan dan Mesir bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anak Selangor yang sedang mengikuti pengajian di negara terbabit hujung bulan ini.
“Pada sesi penggulungan perbahasan Menjunjung Kasih Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) Jumaat lalu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada anak Selangor yang meneruskan pengajian di Jordan dan Mesir.
“Oleh itu, ia akan disusuli tindakan saya untuk menyantuni mereka di sana hujung bulan ini,” katanya dalam ucapan penutup sidang DNS, di sini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan akan turun padang menyantuni pesawah dalam masa terdekat bagi menyampaikan bantuan terus sebanyak RM8.5 juta kepada 8,953 pesawah yang terkesan dengan serangan penyakit hawar daun (BLB) sebelum ini.
Jumaat lalu, sejumlah RM2 juta biasiswa diperuntuk Kerajaan Negeri untuk menampung pelajar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.
Peruntukan itu sebagai menjunjung titah DYMM Sultan Selangor yang menekankan bahawa umat Islam perlu berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.
Manakala, sejumlah RM8.5 juta diperuntukkan bagi membantu pesawah yang terkesan dengan serangan penyakit BLB sebelum ini.
Sehingga kini, mangsa terjejas tidak menerima sebarang pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.
Pada 5 Disember lalu, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.
Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.
-nR-