OLEH LIZAWATI MADFA
SABAK BERNAM, 7 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaannya untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pemilikan harta, 22 tahun lalu.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, siasatan terhadap pimpinan pembangkang bukan sesuatu yang asing dan beliau sentiasa memberikan kerjasama.
“Itu terpulang kepada SPRM dan saya sentiasa terbuka dalam soal ini kerana bukan benda baru.
“SPRM menyiasat, pentadbiran negeri juga siasat pimpinan dan kita sentiasa memberikan kerjasama. Tiada masalah, ” katany selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pesawah di Parit 10, di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, pihaknya sedia membuka semula kertas siasatan berhubung kes pemilikan harta Mohamed Azmin ketika menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Wan Ramli berkata, walaupun kes itu pernah ditutup Badan Pencegah Rasuah (BPR), siasatan masih boleh diteruskan semula jika terdapat bukti baru.
Pada September 1997, siasatan kes berkenaan dihentikan atas arahan Ketua Pengarah BPR ketika itu yang turut mengarahkan kertas siasatan berkenaan di Kemas Untuk Simpan (KUS).
-NFN-