Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang RM2.6 juta, bantu 1,642 keluarga peroleh hak milik strata

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 APR: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyumbang RM2.6 juta untuk membantu penduduk Pangsapuri Pinggiran Batu Caves menyempurnakan proses pindah hak milik strata.

Eksekutif Kanan Undang-undang MBI, Sharudin Ismail berkata, sumbangan itu membabitkan 1,642 keluarga yang mendiami pangsapuri terbabit.

“Sumbangan ini digunakan untuk membiayai kos guaman bagi 1,642 unit dan selebihnya untuk yuran juruukur untuk semua unit termasuk rumah kedai berjumlah 229 unit.

“Rumah kos rendah menerima kira-kira RM1,000 dan kos sederhana RM1,500 dengan selebihnya untuk dibayar kepada juruukur bagi mendapatkan hak milik strata ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Memorandum of Transfer di Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Gombak, di sini, hari ini.

MOT GOMBAK (2)Sementara itu, Ketua Jabatan Sosial Tanggungjawab Korporat, Mohd Jaafarruddin Md Ali, percaya bantuan itu mampu meringankan beban golongan terbabit dalam membiayai kos pindah hak milik.

“Kita akan buat bayaran secara terus tetapi untuk pemilik unit yang dah bayar, maka akan dipulangkan semula kepada peserta.

“Saya percaya jumlah ini amat bermakna bagi mereka kerana banyak meringankan bebanan terutama kini kos hidup semakin tinggi disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Ini adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan semua golongan merasai hasil negeri,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin menandatangani dan menyerahkan bantuan itu sambil disaksikan Pegawai Daerah, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan.