OLEH DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berikrar untuk memakmurkan negara sehingga dapat berada di kedudukan 20 negara termaju di dunia membuatkan saya tersenyum seketika.
Sedangkan Wawasan 2020 tidak tercapai, bagaimana negara boleh menjadi 20 negara termaju di dunia?
Adakah ini hanya sekadar ‘angan-angan Mat Jenin’ atau impian Najib yang tidak tercapai dek akal? Jika negara maju tetapi rakyatnya mundur, tiada gunanya.
Negara kita sememangnya mempunyai infrastruktur yang kian maju setanding dengan negara-negara maju yang lain namun mentaliti Menteri-Menteri Umno BN masih di tahap negara ketiga.
Sudah terlalu banyak ungkapan ‘manis’ ditaburkan untuk mengaburi rakyat dengan cara mengambil harta rakyat secara sedar. Yang menambahkan lagi terencatnya, skandal negara dalam pelbagai isu seperti 1MDB, Menteri dan pegawai rasuah jutaan dan bilion ringgit yang menelan duit rakyat.
Kerajaan Umno BN juga ada berikrar akan terus berjuang membela nasib orang Melayu dan Bumiputera sama ada bumiputera Islam atau bukan Islam. Adakah ikrar ini hanya untuk sedapkan hati rakyat sedangkan berbilion ringgit hilang entah ke mana. Malah ada bukti wang 1MDB di’transfer’ ke akaun individu secara berjemaah.
Rakyat hari ini semakin sengsara dan menderita dengan kerajaan kleptokrasi di bawah pimpinan Najib Razak. Adakah cukup dengan kemajuan yang dicanang tetapi kehidupan rakyat marhaen semakin terhimpit dengan harga barangan yang melambung tinggi dan bebanan GST?
Apakah definisi sebenar ‘negara moden’ jika Umno BN hanya merujuk kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebagai petunjuk, ianya adalah suatu masalah besar.
Sememangnya kemajuan dan keamana negara perlu dipelihara dan dibendung daripada awal jika ingin menuju negara maju. Negara maju bukan sekadar pembangunan ekonomi sahaja tetapi pemikiran juga perlu dipupuk bagi menyeimbangkan dengan gerakan kemajuan negara kita.
# Dato’ Saifuddin Nasution Ismail adalah Setiausaha Agung KEADILAN