Categories
NASIONAL

PAKATAN mampu tawan Negeri Sembilan

OLEH HAFIZAN TAIB

SEREMBAN, 16 APR: Dengan kekuatan yang ada, KEADILAN menaruh harapan tinggi memenangi pilihan raya umum ke 14 (PRU14) seterusnya membantu Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambilalih pentadbiran Negeri Sembilan daripada Umno-Barisan Nasional (BN).

Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Amiruddin Harun, berkata parti itu dan PAKATAN memiliki segala kelebihan itu bagi merealisasikannya dengan apa perlu dilakukan mewujudkan kerjasama kukuh serta fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya yakin KEADILAN mampu, di Negeri Sembilan KEADILAN mampu.

“Dengan bersama DAP, Bersatu dan Amanah, inilah permulaan kita untuk pastikan kemenangan di negeri ini,” katanya dalam majlis perasmian Konvensyen KEADILAN Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Konvensyen dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta pemimpin juga hadirin lain.

Beliau berkata, daripada 36 kerusi DUN ditandingi, PAKATAN perlu berusaha mengekalkan 14 kerusi dimiliki dan menambah sekurang-kurangnya tujuh lagi dalam PRU kali ini bagi membentuk majoriti mudah.

Katanya, KEADILAN yakin gandingan bersama DAP disertai Amanah dan Bersatu akan mampu membentuk gabungan mantap dalam usaha mencapai kejayaan diimpikan dalam PRU kali ini.

“14 April (#Black14) disambut semalam (kelmarin) adalah permulaan perjuangan kita dalam KEADILAN apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi penderaan akibat ditahan maka detik inilah bermula gelombang cukup besar.

“Walaupun Anwar masih dipenjara tetapi kini kita bertuah kerana kita memiliki KEADILAN yang ada hari ini dan berjaya memperoleh Selangor dan Pulau Pinang. Inilah hasil perjuangan Anwar,” katanya.

=EZY=