OLEH Dato’ Seri Dr. Santhara
Saya melahirkan rasa simpati dan sedih kepada nasib seorang pelajar madrasah, adik Mohmad Thaqif Amin Mohd Gadaffie yang dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Hal ini jelas menunjukkan hanya manusia yang tidak mempunyai nilai moral boleh tergamak bertindak sedemikian rupa terhadap kanak-kanak yang berusia 11 tahun.
Hukuman sedemikian sudah tentu akan menimbulkan tragis ke atas orang yang dihukum memandangkan telah menimbulkan kecacatan fizikal (kedua-dua belah kaki terpaksa dipotong) dan hari ini adik Thaqif telah meninggal dunia.
Saya menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes ini secara menyeluruh di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2010. Saya turut meminta Kementerian Pelajaran untuk mengkaji kes ini dengan serius, dan juga kes-kes seumpama ini khusunya di sekolah-sekolah berasrama penuh.
https://selangorkini.my/2017/04/pelajar-tahfiz-mohamad-thaqif-meninggal-dunia/
Sekolah-sekolah disarankan untuk mempunyai sistem saringan yang betul untuk mencari pekerja untuk menyokong kakitangan sedia ada seperti pekerjaan pembantu warden.
Semua pendidik termasuk pembantu warden dan warden tidak harus mengambil kesempatan ini dengan memberi hukuman rotan sesuka hati tanpa alasan sewajarnya.
Misalnya, golongan pendidik boleh mendekati pelajar-pelajar yang bermasalah dengan mengadakan sesi kaunseling bersama ibubapa dan sebagainya.
Rakyat Malaysia seharusnya peka dalam usaha menangani gejala penderaan kanak-kanak daripada berlaku serta mencari resolusi sewajarnya supaya gejala seperti ini tidak membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini.
* Dato’ Seri Dr. Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional
Parti KEADILAN Rakyat