OLEH MOHD AMMAR ATAN
Pemuda AMANAH Nasional terkesima akan kenyataan kerajaan dalam Dewan Rakyat pada hari ini yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan langsung tidak faham apa yang sedang dilakukan.
Ini merujuk jawapan bertulis kerajaan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan giat mengekang hutang isi rumah yang jelas semakin kritikal. Contoh yang diberikan bagi mengekang masalah ini adalah dengan membekalkan rumah PR1MA kepada rakyat.
Melalui kenyataan ini, jelas bahawa kerajaan tidak faham mengenai Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) yang mana bercanggah dengan kenyataan kerajaan di Dewan Rakyat. Jelas bahawa SPEF akan menyebabkan rakyat memiliki rumah dengan berhutang lebih banyak sehingga merisikokan caruman KWSP.
Berdasarkan analisis yang dijalankan SPEF menyebabkan pembeli menerima kadar faedah yang lebih tinggi pada 4.75% berbanding dengan purata pasaran iaitu 4.45% dan pembeli terpaksa membayar lebih sehingga RM32,000 bagi rumah PR1MA berharga RM400,000 pada kadar pinjaman 35 tahun, ansuran bulanan akan lebih tinggi sebanyak RM75
Malah debt service ratio (DSR) bawah SPEF ditingkatkan kepada 70% berbanding hanya purata 60% bawah pinjaman konvensional dan ini menyebabkan peminjam menanggung lebih banyak hutang berbanding pendapatannya.
Lebih membimbangkan kami adalah, pembeli PR1MA boleh menggunakan Akaun 2 KWSP untuk membayar ansuran bulanan pinjaman rumah. Jika pembeli memilih kaedah ini, maka sumbangan bulanan 30% ke Akaun 2 akan digunakan untuk pembayaran semula.
Kesannya, pada ketika persaraan, si peminjam akan mendapat simpanan KWSP 30% lebih rendah daripada yang sepatutnya. Melalui skim ini, peminjam tidak dibenarkan mengakses akaun 2 KWSP selagi mana pembayaran semula pinjaman rumah tidak selesai.
Bukankah ini merisaukan memandangkan Laporan Tahunan KWSP 2015 sendiri mengatakan 68% ahli KWSP berumur 54 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP.
Sepatutnya, dengan andaian perbelanjaan bulanan sebanyak RM950, ahli KWSP perlu memiliki sekurang-kurangnya RM228,000 menjelang umur 55 tahun.
Ini sememangnya membimbangkan kami di pihak Pemuda Amanah kerana langkah ini mendorong ke arah pembentukan “masyarakat penghutang” dalam keadaan kadar hutang isi rumah di Malaysia berbanding pendapatan boleh guna adalah sebanyak 140% dan merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Kerajaan pusat boleh mengambil contoh kerajaan negeri Selangor dalam menawarkan polisi perumahan yang tepat dengan menawarkan harga mampu milik pada harga maksimum RM250,000 dan memperkenalkan Smart Sewa kepada rakyat selangor pada kadar yang “Mampu Sewa”.
Kenyataan retorik kerajaan UMNO-BN jelas bercanggah dengan realiti yang sedang berlaku tanpa menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat!
Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja
* MOHD AMMAR ATAN adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan AMANAH