Categories
PBT SELANGOR

Peruntukan RM20 juta MPAJ, tingkat saliran perparitan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM20 juta bagi tujuan pembaikan sistem perparitan di kawasan sekitar pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussein berkata, pihaknya sudah membuat permohonan lanjut kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan peruntukan kewangan bagi kerja-kerja pembaikan fasiliti untuk kawasan Taman Nirwarna dan Pandan Indah.

“Untuk tempoh ini pihak majlis kekal konsisten berusaha dan menggunakan peruntukan sedia ada untuk melaksanakan projek pembaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Aplikasi Smart Parking MPAJ di Bangunan MPAJ , di sini pagi ini.

Semalam, SelangorKini melaporkan tebing Sungai Kerayong di Taman Lembah Maju yang terletak bersebelahan kuaters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah runtuh dan mendap akibat arus deras.

Kejadian dipercayai berpunca daripada limpahan air di kawasan Taman Nirwarna dan Pandan Indah susulan faktor hujan lebat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, MPAJ dalam kenyataan ringkasnya semalam memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melantik kontraktor untuk membaiki cerun.

=EZY=