Categories
NASIONAL

Produk tani FAMA cukup sepanjang Ramadan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 8 APRIL : Produk pertanian sedia ada dijangka mampu memenuhi permintaan pasaran sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badaruddin Amiruddin berkata, ini termasuklah keperluan pasaran membabitkan produk daging segar, ikan, santai dan ayam di bawah seliannya mencukupi.

Katanya, sebarang keperluan untuk mengimport produk tani dari luar bergantung kepada bekalan sedia ada dan permintaan pasaran tempatan.

“Setakat hari ini tidak ada masalah dari bekalan yang kita ambil terus dari ladang. Tidak akan ada masalah bekalan sepanjang bulan Ramadan.

“Bekalan mencukupi,” katanya kepada media pada majlis perasmian Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara, di sini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan masyarakat sekiranya produk tani pasaran tempatan tidak mencukupi menjelang musim perayaan pertengahan tahun ini.

Tahun lalu, menyaksikan pasaran bahan mentah termasuklah bekalan pasaran runcit di sekitar Lembah Klang ‘kering’ ekoran permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

Dipercayai, fenomena itu berlaku susulan kegagalan pihak pembekal dan agensi bertangungjawab memantau bekalan sedia ada di pasaran ketika itu.

Tinjauan media sekitar Jun tahu lalu melaporkan, beberapa buah kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang mendapati bekalan gula berkurangan dan ada juga sesetengah kedai runcit kehabisan bekalannya.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan umum sekiranya fenomena sama berulang, tahun ini.

=EZY=