Categories
PBT SELANGOR

RM100 menanti pemberi maklumat sampah

SHAH ALAM, 30 APRIL: Ganjaran RM100 menanti orang ramai yang memberi maklumat berkenaan pembuangan sampah haram di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, langkah itu adalah salah satu usaha mengekang aktiviti terbabit yang mencalarkan imej Kuala Langat.

Katanya, pengadu perlu mengikut syarat ditetapkan selain maklumat disalurkan melalui borang disediakan dengan salinan MyKad dan bersetuju hadir ke mahkamah sebagai saksi jika perlu.

“Bagi mendapatkan beban pembuktian baik, pengadu bukan sahaja perlu mengambil gambar tetapi turut menyatakan lokasi, tarikh dan masa kejadian serta nombor pendaftaran kenderaan terlibat.

“Maklumat diterima adalah menggunakan asas aduan pertama diterima dengan mengamil kira maklumat itu lengkap, tepat dan sahih serta ganjaran terbuka kepada semua warga Malaysia,” katanya lapor Sinar Harian.

Mohamad Zain berkata, usaha itu turut mendapat maklum balas positif daripada pengusaha gerai dan restoran di jalan utama yang bersetuju memberi komitmen dan menyokong pelupusan sampah dengan cara betul.