Categories
SELANGOR

RM20,000 bantu anak Selangor jelajah London dengan kapcai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 8 APRIL : Kerajaan Negeri konsisten menyokong sebarang inisiatif positif membabitkan penyertaan golongan belia dalam program pembangunan bagi meningkatkan keupayaan diri masing-masing.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari berkata, ini termasuklah sokongan berterusan membabitkan bantuan kewangan bagi menjayakan inisiatif itu.

“Kerajaan Negeri akan cuba membantu khususnya untuk membuktikan sokongan baik kita terhadap sebarang inisiatif positif dilaksanakan golongan belia Selangor.

“Kita yakin program positif membabitkan penyertaan belia seluruh negeri mampu memberi nilai tambah dan keyakinan baru untuk mereka terus berdaya saing di peringkat lebih tinggi bagi memajukan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Jelajah Antarabangsa Kapcaipackers From Selangor to London di Extreme Park Gua Damai, Batu Caves hari ini.

IMG_2999Majlis diadakan sebagai simbolik sokongan kepada Mohd Alfifshahrin Zakaria, 31 dan isterinya, Diana Latief, 30 yang bakal memulakan siri jelajah ke kota London menggunakan motorsikal jenis Honda RS 150R.

Sebagai mendukung kepada pengembaraan anak jati Selangor itu, Kerajaan Negeri berbesar hati menyumbang bantuan sebanyak RM20,000 bagi merealisasikan hasrat itu.

Optimis kejayaan itu mampu dicapai, Amirudin berkata, inisiatif itu sewajarnya dicontohi golongan belia lain ke arah usaha untuk memajukan diri.

“Walaupun secara nomalnya fizikal rakyat Malaysia ini lebih kecil berbanding lain, namun kita juga mempunyai keupayaan dan kemampuan yang sama.

“Kita sebenarnya juga boleh untuk mencapai kejayaan dan diharap apa yang dilakukan mereka ini mampu menjadi contoh dan menjadikan belia Selangor lebih kuat, kental untuk lebih kompiten di peringkat lebih tinggi,” katanya.

=EZY=