Categories
PBT SELANGOR

Roboh papan tanda haram ancam keselamatan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

BANTING 12 APRIL : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi amaran ke atas pembinaan billboard yang didirikan tanpa kebenaran serta tidak mematuhi syarat ditetapkan bakal berdepan tindakan dirobohkan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dengan sewenangnya menaikkan struktur di bahu jalan tanpa kebenaran sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang awam.

“MDKL tidak akan teragak-agak menjalankan kerja perobohkan struktur binaan jika pemilik mengingkari atau mengabaikan notis yang dikeluarkan.

“Tindakan perobohan struktur binaan billboard boleh dijalankan di bawah Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) selain kes juga boleh dibawa ke mahkamah untuk tindakan lebih tegas terhadap pihak mengingkari syarat serta peraturan,” katatanya dalam kenyataan.

Zain berkata, setiap pembinaan struktur billboard yang ingin dibina mestilah mengemukakan permohonan kepada MDKL sebelum diberikan kelulusan.

“Tindakan permohonan perlu dilakukan bagi memastikan binaan tersebut mematuhi syarat dan peraturan dengan mengambilkira ulasan pelbagai jabatan teknikal bagi menjamin keselamatan banyak pihak apabila ianya dibina kelak.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan mematuhi syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membina apa jua struktur binaan bagi mengelakkan tindakan drastik diambil,” katanya.

=EZY=