Categories
SELANGOR

Selangor tubuh Task Force khas, pantau kes dadah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 8 APRIL : Task Force khas bagi memantau kes penagihan dadah di Selangor akan diwujudkan bagi mengekang penularan peningkatan kes itu membabitkan golongan remaja di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Selangor, Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan dan Polis.

“Task force ini akan diwujudkan serta merta bagi menangani persoalan ini sebelum kes ini merebak dengan besar membabitkan golongan remaja di peringkat sekolah.

“Untuk tempoh ini, kita akan mendapatkan statistik terkini dan kemaskini lanjut dari masa ke semasa.

“Kerajaan Negeri bimbang peningkatan kes dadah ini dan ia sebenarnya menjadi petanda kurang sihat yang perlu kita tangani bersama,” katanya kepada SelangorKini.

Amirudin yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan ditemui pada Majlis Pelepasan Jelajah Antarabangsa Kapcaipackers From Selangor to London di Extreme Park Gua Damai, Batu Caves pagi ini.

Sebelumnya beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat yang mendedahkan kes penagihan dadah di Malaysia untuk tempoh 2016 meningkat 14 peratus kepada 30,847 pada 2016, berbanding 26,668 kes pada 2015.

Menurut statistik terbaru itu kata Masir lagi, ia juga menunjukkan peningkatan penagih baharu kepada 22,925 kes berbanding 20,281 kes dalam tempoh sama.

=EZY=