OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 19 APRIL: Pembangunan semula Stadium Pandan Perdana Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dilaksanakan sejak 2015 dijangka dibuka kepada awam, pada Ogos ini.
Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Abdul Hussain berkata, kos kontrak menelan belanja RM17 juta itu adalah di bawah pelan pembangunan fasiliti sedia ada di kawasan pentadbirannya.
“Pembinaannya yang bermula pada November 2015 itu dijangka siap Julai ini.
“Saya jangkakan stadium ini akan boleh beroperasi bermula Ogos nanti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pembangunan stadium itu sekali gus akan melengkapkan fasiliti sukan penduduk sekitar perbandaran MPAJ.
Pembinaan stadium di tapak seluas 2.37 hektar itu terletak kira-kira 400 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Stadium dengan kapasiti 1,100 tempat duduk itu turut dilengkapi kemudahan trek larian 400 meter, padang bola sepak dan kawasan tempat letak kenderaan.
Sebelum ini, sebahagian daripada tapak asal stadium mini itu mempunyai dua struktur bangunan lapang sasar latihan golf Pandan Perdana dan medan selera.
Tapak itu juga diwartakan Kerajaan Negeri sebagai kawasan lapang dan sesuai untuk pembinaan stadium serta digunakan sebagai padang bola sepak.
-AA-