OLEH LIZAWATI MADFA
GOMBAK, 14 APR: Penduduk Pangsapuri Pinggiran Batu Caves kini mampu menarik nafas lega apabila masalah status pemilikan strata yang tergantung lebih 26 tahun akhirnya selesai.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia diselesaikan dalam tempoh tiga tahun selepas beliau menunjangi pentadbiran Pakatan di Selangor.
Katanya, ia juga merupakan hasil kerjasama erat Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI).
“Hasilnya, kita sudah berjaya mendapatkan status strata bagi dua daripada lima blok yang terdapat di sini.
“Sementara itu, tiga lagi blok masih dalam proses dan dijangka selesai Jun nanti,” katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), di sini, hari ini.
Majlis turut menyaksikan seramai 92 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima Skim Peduli Siswa, 83 menerima Skim HIJRAH dan 25 menerima Skim Mesra Usia Emas.
Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut mengecualikan bayaran Memorandum of Transfer (MOT) terhadap pemilik 1,580 unit Pangsapuri Pinggiran Batu Caves.
“Dengan kos sara hidup semakin tinggi, RM1,000 untuk MOT adalah berat bagi penduduk berpendapatan rendah.
“Maka, Kerajaan Negeri bersetuju mengecualikan pembayaran berkenaan selepas mengambil kira masalah rakyat.
“Lebih manis lagi, MBI selaku pemilik tanah turut bersetuju memulangkan semula RM1,000 kepada penduduk yang sudah menyelesaikan MOT sebelum ini,” katanya.
Bagi rumah kos rendah, MOT dikenakan adalah RM1,000 sementara rumah kos sederhana adalah RM1,300.
-nR-