OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 8 APRIL: Kuasa rakyat merupakan kuasa terbesar berbanding mana-mana individu termasuk dirinya sendiri, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, jika Pakatan menang Pilihan Raya Umum ke-14, usaha membebaskan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dilakukan sekirnya perkara itu dituntut rakyat terbanyak.
“Saya tidak simpan dalam hati. Orang yang bermusuh dengan saya yang sokong Tengku Razaleigh saya ambil balik masuk ke kabinet saya, malah salah seorang menjadi Perdana Menteri. Ini rekod saya. Kalau rakyat nak Anwar, siapa saya nak tahan rakyat,” katanya.
Mahathir berkata demikian pada program ‘Hard Talk’ Ganti Debat di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, malam tadi.
Bagaimanapun jelasnya, usaha membebaskan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara itu perlu diketuai oleh Perdana Menteri pada masa itu dan bukannya diri beliau sendiri.
Terdahulu, panelis penyoal program terbabit, Dr Wong Chin Huat menyoal Mahathir sama ada beliau bersetuju menjalankan usaha membebaskan Anwar dan meminda peraturan larangan memegang jawatan politik selama lima tahun kepada bekas banduan bagi membolehkan Anwar sekali lagi bertanding di Parlimen dan memegang jawatan Perdana Menteri.
=EZY=