Categories
KENYATAAN MEDIA

Umno-BN gunakan KEMAS untuk tujuan politik kepartian

OLEH AHMAD NIZAM

Saya meneliti video ucapan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 20 April 2017 di satu program di Bera, Pahang bersama-sama dengan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Ucapannya yang tanpa berselindung menggesa pegawai-pegawai KEMAS untuk menjadi jentera kerajaan Umno BN paling hadapan untuk menenatng pembangkang di seluruh negara.

Malah, Ismail Sabri memaklumkan bahawa program-program berbentuk politik seperti ceramah boleh dianjurkan secara bersama dengan Umno Bahagian dengan peruntukan daripada KEMAS.

Ini secara jelas menunjukkan Umno BN sudah terdesak menggunakan kuasanya dan ‘machinery’ kerajaan bagi tujuan politik kepartian. Taktik kotor berulang ini berlaku apabila menjelangnya musim Pilihan Raya Umum (PRU).

Sepatutnya peranan KEMAS di setiap daerah adalah sebagai jentera Pembangunan Luar Bandar yang memfokuskan untuk meningkatkan kompetensi masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf hidup daripada segi pendidikan, sosial dan ekonomi. Ini kerana gaji kakitangan KEMAS dibayar daripada wang rakyat.

Malah Ismail Sabri dengan lantang bercakap, sekiranya beliau kena ‘bantai’ dengan pembangkang sekalipun, beliau akan lawan pembangkang dalam Parlimen untuk kepentingan Umno semata-mata.

Pada Mac 2016, Ismail Sabri telah menasihatkan kementerian yang dinaunginya supaya mengutamakan soal integriti tidak kira sama ada kakitangan bawahan, pegawai kanan, Menteri ataupun Ketua Menteri.

Kini , kata yang pernah diungkapkannya hanya sekadar kata seperti Menteri-Menteri Umno BN yang lain. Taktik kotor BN yang ditunjangi Umno mula terserlah. Pemikiran sedemikian yang kurang terbuka menjadikan Umno BN berada di takuk lama dan terus dibuai oleh janji manis sendiri yang akhirnya sekadar mimpi.

# Ahmad Nizam adalah Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang