Categories
GLOBAL

Apa Berita Antarabangsa hari ini?

Berikut adalah ringkasan berita antarabangsa sehingga jam 11.15 pagi, 2 MEI 2017:
1. BANGKOK: Sekurang-kurangnya 27 penumpang pesawat Aeroflot, dari Moscow ke Bangkok, cedera apabila Boeing 777 itu melanggar ‘lompang udara’ selama 40 minit sebelum mendarat.

Menurut pejabat kedutaan Russia di Thailand, 24 yang cedera adalah warga Russia dan 15 daripada mereka dibawa ke hospital Bangkok untuk rawatan. Tiga lagi yang cedera adalah dari Thailand.

Syarikat penerbangan Russia dalam satu kenyataan awal menyebut, kru pesawat tidak sempat memberi amaran kepada penumpang mengenai bahaya angin ketika insiden berkenaan. REUTERS

 

2. AMERIKA SYARIKAT: Penyelidik Universiti UTAH merekacipta mesin robot yang boleh menjalankan pembedahan rumit dengan kepantasan lebih 50 kali lebih pantas daripada prosedur biasa.

Pembedahan yang selalunya dijalankan dalam tempoh dua jam boleh dipendekkan masanya hanya dua minit setengah sahaja. CNN TECHNOLOGY.

 
3. KOREA SELATAN: Tentera Korea Utara memberikan amaran untuk menenggelamkan kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat USS (SSGN 727) Michigan ekoran penghantaran kapal itu ke Semenanjung Korea sebagai provokasi ketenteraan. YONHAP NEWS.

 
4. BANGKOK – Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki akhirnya ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lalu.

Suspek yang digelar sebagai Mr. T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr. G dari Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Mereka yang menyedari menjadi buruan pihak berkuasa menggunakan pelbagai tipu helah untuk mengelak daripada dikesan, demikian menurut pelbagai sumber polis Thailand yang mengekori kedua-dua mereka sejak berbulan-bulan. – BERNAMA

 
5. WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) yang dipasang di Korea Selatan dan menimbulkan kemarahan China sudah mula beroperasi.

Ia berikutan persetujuan yang dicapai antara Washington dan Seoul untuk memasang sistem THAAD yang dijangka selewat-lewatnya Julai depan, bagi menangkis ancaman ujian senjata Korea Utara. Pasukan tentera AS di Korea Selatan berkata, THAAD sudah memulakan operasi dan mampu untuk memintas senjata dari Korea Utara. – AFP

 
6. CARACAS, Venezuela: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro sudah menandatangani surat perintah bagi meminda semula Perlembagaan berhubung hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lengkap mengenai pihak yang bakal dilantik bagi melaksanakan pindaan itu.

Namun, Maduro berkata, pelaksanaan piagam baharu itu akan ditentukan oleh ‘pihak pekerja’ dan bukannya oleh parti politik. – AP

 
7. NEW DELHI: Kerajaan Turki dan India memperkukuhkan kerjasama ekonomi dan pelaburan dalam pertemuan terbaru kedua-dua kerajaan pada Isnin semasa Forum Ekonomi Turki dan India.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata pertemuan dalam mesyuarat itu menandakan hubungan baru ekonomi dalam pelbagai bidang. Eksport Turki ke India berjumlah $652 juta manakala import dari India berjumlah $5.75 bilion – ANADOLU AGENCY

 
8. ERZURUM, TURKI: Saintis Turki membangunkan vaksin pertama dunia untuk berhadapan demam Crimean-Congo hemorrhagic fever (CCHF) , kata Menteri Kesihatan Turki, Recep Akdag.

Beliau berkata vaksin itu dibangunkan dalam tempoh lapan tahun. – ANADOLU AGENCY

 

9. AUSTIN: Seorang lelaki bersenjata pisau mengamuk di Universiti Texas di sini, membunuh seorang pelajar dan mencederakan tiga yang lain, menurut polis.

Suspek yang dikenali sebagai Kendrex White, ditangkap dua minit selepas polis kampus menerima laporan serangan itu. White disoal siasat polis dan dakwaan rasmi berkaitan serangan itu akan dilakukan tidak lama lagi. – REUTERS

 
10. NEW DELHI: Syarikat perladangan Malaysia mengambil beratus-ratus penoreh getah dari negeri Kerana, India dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.

Langkah pengambilan itu dibuat ketika keadaan perniagaan yang sukar dalam industri getah India di mana kejatuhan harga komoditi tersebut telah menyebabkan pembuangan pekerja.
– BERNAMA

 
11. AUSTRALIA: Kerajaan Australia mengumumkan bahawa ia akan membina sebuah lapangan terbang antarabangsa kedua di Sydney bernilai A$5 bilion.
Lapangan terbang akan ditempatkan di Badgerys Creek, 50km (31 batu) barat dari pusat bandar.

PM Malcolm Turnbull berkata Kerajaan Australia akan mengambil projek itu selepas pengendali lapangan terbang yang sedia ada di Sydney menolaknya, memetik risiko kewangan. – BBC NEWS

 
DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT