Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Beli ADN PAS Selangor kerja sia-sia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 MEI: PAS Selangor mengingatkan semua barisan Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADN) mereka tidak tergoda dengan sebarang tawaran termasuk wang ringgit hanya untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri sedia ada.

Exco Kanan Kerajaan Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya menegaskan, PAS tidak akan sama sekali berkerjasama denga Umno demi membentuk Kerajaan Negeri baru.

Katanya, sebarang usaha untuk membeli Exco atau ADN PAS adalah sia-sia kerana ia tidak akan berjaya.

iskandar01“Sebagai Exco Kanan Kerajaan Selangor, saya ingin menegaskan di sini bahawa Exco dan ADN PAS di Selangor tidak boleh dibeli untuk menggulingkan Kerajaan Negeri hari ini.

“Tidak ada jumlah wang yang akan dapat membeli Exco atau ADN untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baru bersama Umno,” katanya.

Katanya, perkara itu sudah dibuktikan ketika Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi.

“Kerajaan Negeri (ketika itu) tidak tumbang kerana tidak ada satu pun ADUN PAS yang dapat dibeli.

“Oleh yang demikian, sudah terbukti bahawa wakil rakyat PAS mempunyai integriti yang tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka,” katanya.

Katanya, rakyat di Selangor mendapat pembelaan yang sewajarnya sejak Mac 2008 dan menyifatkan menyerahkan pemerintahan kepada Umno sebagai tindakan tidak masuk akal

“Mereka menikmati manfaat daripada pelbagai program kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Tidak masuk akal untuk menyerahkan kembali negeri ini kepada Umno, sekali gus merungkai segala inisiatif yang diusaha dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Mandat besar yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013 tidak akan dikhianati,” katanya.