OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 9 MEI: Program Kebun Komuniti membuka peluang kepada penduduk 24 Setia berbakti kepada tanah dengan menanam pelbagai jenis sayuran.
Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia, Ismail Mat berkata, inisiatif sejak setahun lalu itu juga membolehkan penduduk menjana pendapatan menerusi hasil jualan sayur.
Katanya, pihaknya berjaya memperoleh sejumlah RM2,211 hasil jualan, setakat April lalu.
“Pendapatan diperoleh kami gunakan semula untuk modal pusingan bagi membeli baja, benih dan lain-lain keperluan selain bakinya disimpan menerusi tabung persatuan.
“Pada masa sama, kita juga benarkan penduduk mengambil sayuran ditanam secara percuma dan membolehkan mereka berjimat sehingga RM50 seminggu,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Jabatan Pertanian MBSA diketuai Mohd Nazrol Mohd Fauzi melakukan lawatan tapak di Kebun Komuniti 24 Setia.
Ismail berkata, kebun seluas kira-kira 0.35 ekar itu dijaga bersama 20 sukarelawan terdiri dalam kalangan penduduk Setia 24.
“Kebanyakan sukarelawan merupakan golongan pesara dan tidak bekerja lagi.
“Terdapat juga sukarelawan belia namun mereka hanya dapat bersama pada hujung minggu atau hari cuti,” katanya.
Setia 24 dihuni kira-kira 217 keluarga namun hanya 167 daripadanya yang aktif dengan aktiviti setempat.
=EZY=