Categories
SELANGOR

Berbuka sambil beramal di SACC

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Sempena meraikan Ramadan yang bakal tiba, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) membuka peluang kepada pengunjung ‘berbuka sambil beramal’ bagi membantu mengumpul dana untuk Tabung Rescue Syria.

Pengurus Besar SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

“Setiap baucer bufet Ramadan dijual, RM1 akan disumbangkan kepada tabung ‘Rescue Syria’ dengan sasaran mengumpul sekurang-kurangnya RM12,000 sepanjang bulan mulia ini.

SACC BUFET“Kami sentiasa mengambil inisiatif mulia membantu rakyat Syria disamping mengajak orang ramai mengambil peluang beramal sambil berbuka puasa dengan buffet disediakan,” katanya.

Katanya, itu merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan MAPIM, namun sebelum ini juga pihaknya pernah berkolaborasi dengan Amal Palestin untuk rakyat palestin serta Hidayah Center bagi membantu masyarakat tempatan seperti golongan mualaf.

Tambahnya lagi, usaha itu diteruskan sepanjang Ramadan 2017 dengan menawarkan promosi pembelian awal buffet pada harga RM78 bagi dewasa dan RM38 kanak-kanak sebelum 27 Mei.