Categories
SELANGOR

Beri kerjasama isu Paya Indah Wetlands

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 MEI: Kerajaan Negeri mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan berhubung pembangunan Paya Indah Wetlands walaupun sudah mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Pembangunan Fizikal Negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat arahan daripada menteri berkaitan yang meminta kertas cadangan itu diketepikan dan tidak melalui proses perbincangan.

“Dalam konteks ini, kertas cadangan sudah dikemukakan kepada Majlis Pembangunan Fizikal Negara tetapi kita dimaklumkan menteri mengarahkan supaya ia dikeluarkan dan tidak dibentangkan.

“Maka, kita tidak boleh dipersalahkan dan kita akan menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya kepada media selepas Karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Pasaraya Giant, Kota Damansara, di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama berhubung perkara itu dan kertas cadangan bagi pembangunan kawasan terbabit harus dibentang serta diluluskan.

KARNIVAL IPR 2017 (26)Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri melalui Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong turut memberi penjelasan penuh terhadap perkara itu sejak setahun lalu.

“Proses itu perlu kerana terdapat aspek tertentu memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan selain Kerajaan Negeri berkuasa meluluskan apa yang tertakluk di bawah bidang kuasanya,” katanya.

Baru-Baru ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendakwa projek pembangunan di sekitar kawasan Paya Indah Wetlands dijalankan tanpa kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara dan menggesa Mohamed Azmin menjelaskannya.