OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 5 MEI: Orang ramai dijemput menyertai Bual Bicara Santai (BUAL) yang berlangsung esok di Laman Seni 7, Seksyen 7 di sini, bermula jam 5 hingga 7 petang.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program Kota Seni Shah Alam itu bakal membicarakan topik ‘Bagaimana Mengurus Acara?’.
Katanya, ia menampilkan tiga gandingan ahli panel iaitu Seir Rashid dari Tempatan Fest, Izrul Hanafiah (Foodmega Festival) dan Seyn (Projek Rabak).
“Inisiatif ini merupakan sebahagian komitmen berterusan MBSA menjadi medium komunikasi kreatif serta memberi mesej positif kepada generasi muda.
“Ia juga sebagai salah satu peranan MBSA menyemarakkan aktiviti seni budaya, memberi peluang kepada golongan kreatif berkarya dan memperkasakan Shah Alam sebagai kota seni,” katanya dalam kenyataan.
Untuk sebarang pertanyaan berhubung program BUAL, orang ramai boleh hubungi Ahli Muzik, Masrurah Irina Md Kamal di talian 03 5522 2738 sambungan 1374.
Pada 18 Mac lalu, program BUAL pertama dengan topik ‘Warnai Pengetahuan’ berlangsung di INTEC Education College, UiTM Seksyen 17.
Ia turut menampilkan artis jemputan iaitu pasangan duo, Hani dan Sue yang merupakan bekas pemenang Project EP Hot FM.