Categories
GLOBAL

China pujuk India sertai kembali Projek ‘Satu Jalur dan Satu Laluan’

NEW DELHI 21 MEI: China mempelawa Perdana Menteri India, Narendra Modi dan enam menteri kabinet menyertai persidangan Laluan Sutera baharu, yang bakal diadakan bulan ini.

Dalam usaha memujuk India menghadiri persidangan itu, China turut menyatakan kesediaannya menamakan semula projek utama mereka di Pakistan yang diadakan di wilayah dipertikaikan.

Perkara itu didedahkan diplomat dan pegawai daripada kumpulan pentadbiran Modi. Bagaimanapun, New Delhi menolak desakan diplomatik Beijing itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Kegagalan China untuk menarik penyertaan India dalam projek yang maklumat lengkap mengenainya masih belum didedahkan, menunjukkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara, berikutan pertikaian wilayah dan sokongan Beijing terhadap Pakistan.

India mengutuk projek ‘Satu Jalur dan Satu Laluan’ atau ‘Belt and Road’ yang dianggap satu tindakan tegas yang diambil oleh Modi terhadap China.

Namun, tindakan India itu dianggap penganalisis bakal menyebabkan negara itu diasingkan, kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan dari Amerika Syarikat bagi menghadapi China, berikutan peningkatan pengaruh Beijing di Asia.

Sementara itu, wakil dari 60 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Jepun menghadiri persidangan mengenai projek yang dipelopori Presiden Xi Jinping itu, yang diadakan di Beijing pada 14 hingga 15 Mei lalu.

=EZY=