Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DNS terus fokus pembaharuan, laksana titah Sultan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 13 MEI: Dewan Negeri Selangor (DNS) konsisten memberi tumpuan terhadap proses pembaharuan Dewan Negeri seiring titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar institusi itu berfungsi secara efektif.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi kerjasama Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk terus membangunkan DNS sebagai wahana perbahasan rakyat.

“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk melaksanakan pembaharuan yang saya fikir cukup penting untuk Selangor sebagai sebuah negeri maju dan dinamik.

“Segala pembaharuan ini bertujuan untuk pemerkasaan generasi masa depan dan faktor inilah mendorong Dewan Negeri Selangor untuk terus mencari pembaharuan itu,” katanya.

Persidangan DNSBeliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Negeri seluruh negara yang turut dihadiri baginda Sultan di, Hotel Concorde, petang ini.

Sebelumnya Hannah diminta mengulas titah baginda agar DNS lebih fokus mengorak langkah melaksanakan pembaharuan termasuklah melalui penglibatan golongan muda untuk diberi pendedahan berkait isu Dewan Negeri.

Baginda dalam titah perasmiannya turut memuji pelbagai pembaharuan dilaksanakan DSN termasuklah penyiaran secara langsung sidang Dewan Negeri untuk makluman seluruh rakyat.

Mengambil pendirian positif terhadap titah Baginda itu, Hannah optimis prinsip demokrasi dan pembaharuan akan terus dilaksanakan di negeri ini.

“Titah Tuanku adalah pengikitarafan bagi Dewan Negeri Selangor sekali gus memperlihatkan pembaharuan ini dihargai,” katanya.

Untuk rekod, pelbagai pembaharuan dilaksanakan sejak 2008 ketika Pakatan mentadbir negeri termasuklah memberi ruang kepada Ketua Pembangkang untuk berbahas secara konsisten.

Selain itu, kemudahan, elaun dan akses pengangkutan turut diberikan kepada Ketua Pembangkang bagi memastikan fungsi dewan negeri dijalankan secara berkesan.

Terdahulu, DNS menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun ini yang disertai delegasi Speaker dan Timbalan Speaker, masing-masing mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia.

=EZY=