Categories
SELANGOR

Dua pelajar UiTM maut di Janda Baik berasal dari Selangor

BENTONG 13 MEI: Dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) disahkan maut dihempap pokok ketika mengikuti latihan ikhtiar hidup di kawasan air terjun Lata Carok, dekat Janda Baik, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kumpulan 140 pelajar UiTM bersama empat pensyarah termasuk mangsa itu adalah dari kampus Puncak Alam, Selangor.

“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi tadi ketika mangsa dan beberapa pelajar sedang meredah hutan tebal berhampiran kawasan air terjun terbabit.

“Empat daripada mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan, manakala seorang yang parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan,” katanya lapor BH ONLINE.

Mohamad Mansor berkata, dua mangsa (pelajar) disahkan maut ialah Noorain Mohtar, 23, dari Sungai Besar, Selangor dan Muhamad Kamil Md Sukri, 22, berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Mohamad Mansor berkata, mayat Noorain ditemui kira-kira jam 6 pagi, manakala mayat Muhamad Kamil yang dihempap pokok tumbang pula ditemui kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pihaknya sedang bekerjasama dengan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong untuk membawa keluar semua pelajar terbabit dari lokasi kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, pihaknya menemui mayat kedua mangsa jam 12.15 tengah hari selepas melakukan pemeriksaan di kawasan kejadian.

“Kita menggerakkan satu kenderaan pacuan empat roda, sebuah ambulan bersama seorang pegawai dan 20 anggota APM bagi operasi SAR ini.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa kedua dalam kejadian ini,” katanya.

=EZY=