Categories
SELANGOR

Fokus pembangunan moden warga desa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MEI: Pembangunan ekonomi desa menerusi pelaksanaan dasar ‘pemodenan’ ekonomi setempat giat dilaksanakan di peringkat negeri menerusi penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai bidang kepada golongan itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor ekonomi desa perlu diberi keutamaan dengan mengambilkira kapasiti kependudukan rakyat Selangor yang masih menetap di pinggir bandar.

“Ekonomi masyarakat desa perlu dimodenkan dengan penyediaan pekerjaan kepada generasi muda tanpa perlu memaksa warga desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

SULTAN SEKINCHAN (1)“Untuk itu, Kerajaan Negeri tuntas mengangkat mutu kehidupan masyarakat desa khususnya warga Sekinchan ke tahap setara dengan kehidupan moden.

“Namun tidak dilupakan bahawa, Kerajaan Negeri mahu watak dan jati diri kedesaan itu dikekalkan dengan mengambilkira persekitaran bermasyarakat harmoni dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan rafak sembah takzim di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan baginda mencemar duli ke Sekinchan bagi siri lawatan rasmi baginda ke daerah itu, semalam.

Mohamed Azmin berkata, tumpuannya juga terarah kepada pembangunan berterusan sektor pertanian moden membabitkan golongan tani pinggir bandar.

Katanya, pelaksanaannya mampu merapatkan lagi jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Selangor terus maju dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan melangkah lebih jauh lagi dalam penguasaan teknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, bioteknologi dan sektor pertanian moden.

“Kemajuan pertanian Sekinchan ini sebenarnya didorong hasil penggunaan teknologi pertanian dan kaedah moden bagi menghasilkan lebih banyak pengeluaran untuk dipasar dan dikomersialkan,” katanya.