Categories
SELANGOR

Hak Speaker pertahan buku inspirasi ‘Kristian’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 MEI: Sentimen penghasilan buku hasil penulisan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh tidak seharusnya dipolitikkan bagi tujuan pihak tertentu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Hannah mempunyai hak untuk mempertahankan penulisannya yang didakwa ‘Kristian’ sama seperti pemimpin politik lain mempertahankan agama masing-masing.

“Ada orang tegur saya, tidak patut pertahankan Hannah. Dia kata isu agama ini sensitif untuk orang Islam.

“Jawab saya, buku Hannah menceritakan bagaimana ajaran Kristian menjadi inspirasi kepadanya sebagai ahli politik.

nik-nazmi“Itu adalah haknya, seperti hak saya menceritakan tentang Islam sebagai inspirasi politik. Itu tidak menjadi kesalahan dalam Islam,” katanya di Twitter.

Beliau percaya, penulisan itu tidak mengandungi sebarang sentimen berbaur hasutan dan boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini.

“Akidah umat Islam tidak selemah itu,” kata Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu.

Memetik laporan MalaysiaKini, Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusuff menyifatkan kandungan buku tulisan Hannah dihasilkan bagi memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya cenderung kepada agama itu.

Menafikan dakwaan itu, Hannah membuat laporan polis terhadap Kamarul Zaman kerana mendakwanya mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

Hannah berkata, kenyataan itu diputar belit dan mempunyai unsur fitnah terhadap beliau dan partinya, DAP.

“Kenyataan itu bersifat prasangka jahat dan jelas berniat menyebarkan kebencian terhadap diri saya, pemimpin DAP yang dinamakan dalam kenyataan itu dan parti DAP.

“Kenyataan itu juga menimbulkan risiko tinggi terhadap keselamatan saya dan ahli DAP,” katanya.

Beliau menghasilkan biografi, ‘Becoming Hannah’ (Menjadi Hannah) menceritakan kepada umum pembabitannya dalam politik negara dan pengalaman menerajui DNS sebagai Speaker wanita pertama juga termuda negara.