Categories
SELANGOR

Hakim tarik diri semakan kes OSA isu 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mencabar tindakan Kerajaan Persekutuan mengklasifikasikan laporan audit 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Azizah hari ini selepas beliau dilantik untuk mendengar kes tersebut minggu lalu bagi menggantikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang dipindahkan ke Shah Alam.

Peguam Mohamed Azmin, Ganesan Nithi memberitahu pemberita bahawa Hakim Azizah mengambil keputusan untuk menarik diri atas sebab bahawa suaminya, Datuk Nik Shuhaimi Nik Sulaiman memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor .

“Oleh itu mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk pengurusan kes di hadapan pendaftar untuk membuat keputusan mengenai hakim lain bagi mendengar kes itu,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan semakan kehakiman di mana beliau menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden.

Beliau memohon deklarasi bahawa pengklasifikasi laporan audit di bawah OSA adalah menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau memohon perintah mandamus untuk memaksa ketiga-tiga responden, ejen mereka dan pegawai berkenaan untuk mengklasifikan semula laporan audit 1MDB menurut Seksyen 2C daripada OSA, dan untuk mendedahkan laporan itu kepada orang ramai.

=EZY=