Categories
NASIONAL

Hampir 4,000 pembayar cukai culas diburu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MEI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) giat menjejak 3,838 pembayar cukai culas di seluruh negara dengan tunggakan keseluruhan RM326 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata, buruan secara besar-besaran itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat mengenai tanggungjawab melunaskan cukai.

Katanya, usaha bersepadu berkenaan akan dibuat menerusi Ops Kutip 2017 membabitkan 592 petugas.

“Petugas Ops Kutip 2017 akan bergerak secara serentak dari 13 pusat pelepasan seluruh negara.

CYBERJAYA 09 DECEMBER 2016. Temuramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN yang baharu, Datuk Sabin Samitah di Ibupejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Cyberjaya. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.

“Mereka akan menjejak pembayar cukai ingkar ini bermula hari ini sehingga esok,” katanya dipetik Berita Harian Online.

Beliau dilapor berkata demikian pada ucaptama perasmian Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional, di Kota Kinabalu, Sabah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abd Hamid berkata, 1,402 daripada pembayar cukai tertunggak itu terdiri dalam kalangan syarikat beroperasi di Malaysia.

Katanya, LHDN optimis 90 peratus atau RM293.6 juta daripada RM326 juta mampu diperoleh menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, tiada bayaran tunai akan dikutip daripada pembayar cukai menerusi Ops Kutip 2017 bagi mengelak kes penipuan menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Setiap petugas akan memakai ‘vest’ dan menunjukkan pengenalan diri LHDN sebelum menyerahkan notis tuntutan kepada individu berkaitan.

“Pembayaran menerusi operasi ini hanya boleh dibuat menerusi draf bank atau cek kepada pegawai dilantik LHDN,” katanya.