Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN bidas kenyataan SPRM mahu tunggu PRU baru bertindak

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MEI: Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad dibidas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) apabila beliau secara terbuka mengakui SPRM bertindak berdasarkan suasana politik semasa.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata SPRM sepatutnya sebuah badan bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan urusan politik mana-mana parti politik.

“Ini adalah hujah yang sangat lemah. Tak tunjuk kesungguhan dan tiada profesionalisme SPRM. Dia sangat lemah dalam hujah.

“Apa kena mengena SPRM dengan politik. SPRM ini badan yang tidak ada kaitan dengan urusan parti politik. Kenapa dia nak ambil kira sudut politik untuk bertindak. Ini tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, jawapan Dzulkefli itu merupakan hujah yang sangat lemah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Terdahulu, Dzulkefli memberitahu media SPRM tidak akan bertindak sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selesai dijalankan kerana tidak mahukan tindakan itu nanti dijadikan bahan kempen musuh politik pihak yang dikenakan tindakan.

Beliau juga mengingatkan supaya pengundi tidak memilih pemimpin korup dalam PRU-14 nanti atau pemimpin terbabit bakal didakwa sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.

=EZY=