Categories
KENYATAAN MEDIA

Kegagalan polisi pekerja dan penguatkuasaan punca kebanjiran PATI

OLEH Dato’ Abdullah Sani

Baru-baru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyatakan hanya sejumlah 85,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didaftarkan melalui program e-Kad sementara pekerja asing.

Angka tersebut jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sekitar 400,000 hingga 600,000 PATI.

Statistik yang dilaporkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula menunjukkan realiti kebanjiran PATI telah mencecah 5 juta orang.

Meskipun Kementerian Sumber Manusia secara tidak langsung menyatakan bahawa hanya 4 juta sahaja PATI di negara ini (merujuk pada kenyataan berkaitan 7 dari 10 orang pekerja asing adalah tidak sah, bersama-sama disertakan bilangan sah hanya sekitar 1.9 juta orang).

1. Memperlihatkan keadaan semakin kritikal, saya berpandangan program e-Kad sementara pekerja asing hanyalah satu usaha yang sia-sia jika tidak melaksanakan terlebih dahulu reformasi polisi pekerja dan penguatkuasaan kerajaan.

Kedua-dua aspek ini saling berkaitan dalam menangani masalah lambakan PATI, dalam masa yang sama memperkasakan kebajikan pekerja dan rakyat.

2. Reformasi polisi pekerja adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Majikan dan Kesatuan Sekerja. Masalah utama polisi kerja di negara ini adalah kelemahan penguatkuasaan gaji minima.

Banyak majikan hanya ingat bahawa gaji minima hanya perlu diimplimentasikan kepada pekerja tempatan, manakala pekerja asing dibiarkan untuk memperoleh gaji lebih rendah.

Keadaan ini, menyebabkan majikan lebih gemar mengambil pekerja asing atas sebab kos buruh yang lebih rendah. Lebih teruk lagi, pekerja asing tidak dibiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO menyebabkan kerajaan begitu sukar untuk menyemak hasil pendapatan yang diberikan oleh majikan kepada mereka.

3. Sistem polisi pekerja di negara-negara maju, misalnya Australia menitikberatkan gaji minimum bukan sahaja kepada pekerja tempatan tetapi juga kepada pekerja asing.

Kesamarataan daripada segi gaji dan juga kebajikan antara pekerja tempatan dan asing menentukan persaingan yang lebih sihat, sama ada majikan memilih pekerja tempatan atas dasar nasionalisme atau pekerja asing kerana reputasi kerja – tanpa melibatkan isu kos buruh yang rendah.

4. Hakikatnya, polisi ini gagal diadaptasikan di Malaysia yang menyebabkan majikan lebih gemar mengambil pekerja asing sekalipun mereka ini di kalangan pendatang asing tanpa izin, atas sebab kos murah dan juga kesenangan memperoleh kesetiaan untuk bekerja (jika enggan bekerja, majikan mengugut akan membocorkan status pekerja tidak sah kepada pihak berkuasa dan berkemungkinan mereka akan dihantar pulang ke negara asal, meskipun majikan membayar gaji rendah dan mengabaikan kebajikan pekerja).

Bagaimana pekerja asing mahu melepaskan diri, sedangkan mereka tidak berlindung di bawah kesatuan sekerja?

5. Tambahan pula, kerajaan Umno BN agak lemah dalam penguatkuasaan undang-undang. Sudahlah pintu masuk negara dikatakan bolos sehinggakan 5 juta PATI dibiarkan masuk begitu sahaja, inikan pula terpaksa membuat satu program untuk mendaftarkan mereka sebagai pekerja sah sementara.

Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju industri pekerja di Malaysia? Adakah kerajaan sebenarnya mengalu-alukan kedatangan PATI yang bersangkut paut dengan amalan rasuah dan kronisme? Bagaimana pula dikatakan kerajaan sedang melaksanakan program ‘pemutihan’ PATI, sedangkan kerajaan tidak mencegah terlebih dahulu gejala kemasukan PATI di negara ini?

Saya berpendapat bahawa program ‘pemutihan’ tidak akan mencapai sasaran. Majikan tidak gemar untuk melaksanakannya demi memanipulasi keuntungan atas pekerja bertaraf tidak sah.

Pekerja asing tidak akan berdaftar secara sukarela kerana ugutan daripada majikan dan tidak akan ada kesatuan sekerja yang membela mereka. Saya merasakan tarikh akhir 30 Jun untuk program ini hanyalah sia-sia andai kerajaan tidak tegas dalam penguatkuasaan undang-undang.

Barangkali selepas tarikh ini, kerajaan Umno BN tetap akan ‘kitar semula’ program yang sama tanpa tindakan untuk cegah kemasukan PATI, memulangkan pendatang tidak sah ke negara masing-masing, melaksanakan reformasi pekerja dan menghukum majikan yang tidak mematuhi undang-undang.

 

* Dato’ Abdullah Sani adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Pengerusi Biro Pekerja
Parti KEADILAN Rakyat