OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 14 MEI: Kepelbagaian ‘rencah’ perbahasan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan amalan toleransi Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerajaan dan Pembangkang melonjakkan lagi fungsi DNS sebagai wadah perbincangan isu rakyat yang dominan dan bersistematik.
Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, kesatuan itulah yang mengkukuhkan peranan DNS sebagai institusi telus dalam membawa suara rakyat di seluruh negeri.
“Penghargaan diberikan kepada kesemua Ahli Dewan Negeri yang begitu cekal membawa perubahan Reformasi yang dilaksanakan oleh Dewan Negeri selama ini.
“DNS kini dianggotai Ahli Dewan Negeri yang sangat matang dan progresif. Walaupun kadang-kadangkala wujudnya ketidasefahaman, tetapi inilah yang menjadi ‘warna’ dalam Dewan Negeri.
“Pengalaman sebagai Speaker Dewan Negeri ini tentunya menjadi pengalaman terbaik secara peribadi buat diri saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan sembah takzim penutup Majlis Santapan Malam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia di Hotel Concorde, malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan mencemar duli hadir pada Majlis Santapan Malam.
DNS dianggotai 56 ADN seluruh negeri dengan 41 daripadanya adalah ADN Kerajaan, 13 lagi wakil Pembangkang sementara dua wakil bebas.
=EZY=