Categories
KENYATAAN MEDIA

KPDNKK jangan sekadar ‘pantau’ tanpa tindakan

OLEH MANIVANAN GOWIN

Saya ambil maklum bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memperkenalkan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017 yang bermula dari 22 hingga 31 Mei 2017 ini.

Saya mengalu-alukan usaha pihak kementerian untuk mengawal kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga.

Namun, apakah yang akan berlaku selepas 31 Mei 2017 nanti? Adakah harga barangan tidak dikawal dan seterusnya memperlihatkan kenaikan? Bukankah kawalan harga barang satu mekanisme yang berterusan?

KPDNKK sepatutnya mengawal harga barangan mentah seperti yang dinyatakan sepanjang bulan Ramadan. Kawalan harga barangan mentah, secara langsung akan memberi impak kepada harga barang – barang lain. Ini bermaksud, dengan mengawal harga barang mentah, kita sebenarnya mampu mengawal harga barang – barang lain.

Seterusnya, persoalan yang timbul ialah – Adakah ini hanya sekadar ‘pantau’ sahaja seperti lazimnya tanpa ‘tindakan’ jika terdapat peniaga yang melanggar Akta sedia ada?

Manivanan-Gowin-4aSaya tidak mahu alasan jumlah pegawai penguatkuasa KPDNKK sedia ada yang tidak mencukupi dijadikan alasan untuk tidak memantau kawalan harga barangan di seluruh negara.

Tidak perlu tungggu rakyat membuat aduan kepada pihak KPDNKK baru terhegeh-hegeh untuk pegawai bertindak.

Peningkatan harga barang dapat dilihat menjelang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi dan pasti merunsingkan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian.

Kerajaan seharusnya memastikan juga 10 jenis barangan yang disenaraikan oleh KPDNKK mempunyai stok yang banyak kerana ianya merupakan barangan yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Isu kawalan harga barang wajar dilakukan sepanjang tahun, sepanjang masa. Jika kawalan harga dilakukan secara holistik, kita tidak akan menghadapi masalah sebegini setiap kali menjelang bulan Ramadan dan musim – musim perayaan.

*Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar dan Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN