Categories
KENYATAAN MEDIA

Menyelesaikan pengangguran siswazah dan anak muda

Oleh Liew Chin Tong

Pada bulan Julai 2015, seorang graduan undang-undang yang bernama Zahra telah berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapan ringkasnya yang ditularkan melalui klip video selama enam minit, Zahra meluahkan rasa hati seorang siswazah yang terpaksa hidup kais pagi makan pagi.

Saya telah pun mengulas keadaan ini dalam satu rencana. Apa yang saya mahu sampaikan di sini adalah situasi di mana selepas hampir dua tahun, masalah graduan muda bukan sahaja tidak berubah, malah kini menjadi lebih teruk lagi.

Buktinya terkandung dalam Laporan Bank Negara 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017. Dalam satu topik bertajuk “Pengangguran Belia di Malaysia: Perkembangan dan Pertimbangan Dasar”, ia mendedahkan masalah pekerjaan dan pengangguran golongan muda.

Antara pemerhatian laporan tersebut adalah:

Pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7% pada 2015, iaitu meningkat tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara 3.1%;
Separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia;

Kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3% berbanding dengan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pada ladar 9.8% pada 2015;

Walaupun tahap pendidikan tenaga kerja semakin tinggi, peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam ekonomi Malaysia masih tertumpu pada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana, kerana industri domestik masih dalam aktiviti nilai ditambah yang rendah yang menekankan kecekapan kos dan tenaga kerja yang murah; dan

Dari segi pendapatan, 54% siswazah memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Gaji permulaan siswazah pada amnya kekal tidak berubah sejak 2007.

“Perkembangan berkembar pengangguran belia yang tinggi dan berterusan serta ketaksamaan pendapatan yang semakin meningkat mungkin mengekang mobiliti sosial dan membawa kepada rasa lebih tidak berpuas hati dalam kalangan masyarakat.

“Di Malaysia, keadaan ini telah pun menyumbang kepada fenomena penghijrahan tenaga kerja mahir Malaysia ke negara maju dan negara jiran.
Jika keadaan ini dibiarkan, generasi belia yang tersisih dari segi ekonomi mungkin akan mendatangkan kesan rumit yang negatif dan meluas terhadap landskap ekonomi dan sosial,” menurut Laporan tersebut.

Bagi saya, apa yang diperhati dan dilaporkan oleh Bank Negara adalah satu masalah besar yang perlu ditangani segera jika kita tidak mahu anak-anak muda Malaysia menjadi mangsa pengurusan ekonomi yang salah.

Dalam tulisan saya tentang masalah pengangguran golongan muda yang bertajuk “Bagaimana Zahra boleh dibayar dengan gaji yang lebih baik?”pada Julai 2015, saya mengemukakan usul supaya penstrukturan semula ekonomi Malaysia secara drastik dilaksanakan segera.

Saya mencadangkan satu perkitaran yang baik perlu disediakan untuk pendapatan tinggi, kemahiran tinggi, dan produktiviti tinggi. Suasana ini hanya boleh dicapai apabila Malaysia tidak lagi bergantung kepada buruh asing yang kurang mahir.

Mengapa saya berkata demikian?

Ini adalah kerana hampir semua sektor di Malaysia seolah-olah tidak menghargai kemahiran, tidak membangunkan teknologi baru, dan tidak berminat dalam inovasi.

Mereka hanya mahu jalan pintas dengan mengambil pekerja asing kurang mahir atas alasan boleh dibayar gaji rendah serta tanpa perlu menyediakan perlindungan pekerjaan yang lengkap, kononnya untuk menjimatkan.

PEKERJANamun, pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa pihak industri juga mengalami tekanan kerana tidak mendapat sokongan kewangan untuk automasi serta peningkatan taraf mesin. Malah, di Malaysia, amat sedikit usaha dilaksanakan ke arah Kajian dan Pembangunan (R&D).

Sehubungan itu, apabila buruh asing dibawa masuk, khususnya untuk sektor perkhidmatan seperti hotel dan restoran, serta runcit seperti kedai serbaneka 7-11, ia menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda Malaysia di peringkat rendah.

Keadaan ini memaksa anak muda Malaysia yang diketepikan peluang pekerjaan di peringkat bawahan untuk mencari jalan lain.

Ada yang terpaksa bekerja dengan pendapatan yang lebih rendah daripada gaji yang dibayar kepada pekerja asing di 7-11, atau menjadi penjaja atau peniaga pasar malam, sama ada berlesen atau tidak.

Situasi seperti ini menjemput tekanan undang-undang dan sosial yang membawa kepada stress dan kemurungan (depression). Malah, ia telah membawa kepada masalah penagihan dadah dan jenayah.

Bagi siswazah yang tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka, ramai yang sudah tidak segan lagi untuk mendapatkan pekerjaan di peringkat yang lebih rendah.

Malangnya, pekerjaan di peringkat rendah pula telah diisi atau tiada kekosongan. Mereka yang mempunyai ijazah kini tersepit kerana ekonomi Malaysia pada masa ini tidak begitu mementingkan kemahiran dan nilai yang tinggi.

Izinkan saya ulangi tulisan saya dua tahun lalu: “Majikan hanya memerlukan “pekerja baik” yang berfungsi bagai mesin. Mereka tidak bernilai sama ada dengan atau tanpa ijazah. Sudah tentu, dalam kitaran yang buruk sedemikian, sistem pendidikan kita juga tidak mempersiap-sediakan pelajar kita ke arah itu.

“Sesetengah pekerja mahir yang tidak tahan dengan keadaan sedemikian memilih untuk tinggalkan tanahair dan mencari rezeki di tempat lain. Sekurang-kurang 1.5 juta warga Malaysia, kebanyakannya berkelayakan dan berkemahiran tinggi bekerja di luar negeri.”

Malaysia memerlukan satu kejutan. Sebagai contoh, saya cadangkan agar gaji pemungut sampah dibayar dengan lebih baik bagi mencetuskan gelombang peningkatan pendapatan.

Maksud saya, apabila pemungut sampah dibayar RM2,000 sebulan, pendapatan golongan lain, termasuk siswazah akan turut meningkat, mungkin bermula dengan RM4,000 sebulan.

Mengapa saya mengambil contoh pemungut sampah?

Sekarang, pengutipan sampah dan pembersihan bandaraya adalah kontrak lumayan yang diberikan kepada kontraktor kroni oleh kerajaan tempatan atau agensi pengurusan sisa pepejal.

Biasanya kroni ini mengambil jalan mudah dengan menyerah tugas kepada sub-kontraktor. Dan biasanya terdapat lebih satu orang tengah atau perentir (rent-seeker) yang tidak melakukan apa-apa tetapi dimanfaatkan melalui kontrak atau lesen yang dia perolehi daripada hubungan politiknya.

KDEBWM KOMPAKTOR (1)Masalahnya, ia tidak lagi menguntungkan apabila projek ini sampai ke tangan sub-kontraktor. Sub-kontraktor, yang sentiasa memikirkan cara untuk mengurangkan kos, akan mengupah buruh asing kurang mahir untuk menjalankan kerja 3D (dangerous, dirty, and demeaning) ini, iaitu bahaya, kotor dan rendah tahap. Mereka hanya dibayar di antara RM600 dan RM900 sebulan.

Trak sampah biasanya dikendalikan seorang pemandu warga Malaysia yang juga dibayar gaji rendah dengan 4 atau 5 orang buruh Bangladesh. Sedangkan di banyak negara maju, trak pemungut sampah biasanya dipandu hanya seorang pemandu, dengan kerja selebihnya diautomasikan.

Bukankah lebih baik jika kita membayar RM2,000 sebulan kepada seorang pemungut sampah mahir seperti di negara maju yang boleh mengendalikan trak sampah sendiri?

Jadi, untuk membolehkan anak muda Malaysia, terutama golongan siswazah, memperolehi gaji yang adil dan berpatutan, rakyat dan pemimpin politik, khususnya Pakatan Harapan, perlu berganding bahu untuk membuat perubahan yang menyeluruh.

Dalam usaha mengatasi masalah penyediaan peluang pekerjaan yang wajar, kita perlu memusatkan tenaga untuk menjamin masa depan golongan muda melalui usaha untuk:

Menghapuskan kronisme yang memperolehi manfaat daripada hasil import pekerja asing kurang mahir;

Mengurangkan jumlah pekerja asing kurang mahir dalam ekonomi kita, terutamanya dalam sektor perkhidmatan; dan

Mewujudkan satu agenda rakyat Malaysia untuk memperuntukkan sumber bagi memacu momentum ke arah peningkatan kemahiran dan teknologi.

  • LIEW CHIN TONG adalah Ahli Parlimen Kluang