Categories
NASIONAL

MTUC: Graduan perlu dapat gaji awal setimpal, tangani kenaikan kos

SHAH ALAM, 6 MEI: Graduan muda yang baru memulakan kerja berhak menerima RM3,000 setimpal dengan kelayakan ekoran perbelanjaan pendidikan yang tinggi ketika ini.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, gaji yang setimpal perlu menampung kos sara hidup graduan dan tidak menjadi beban dalam hidup mereka.

“Pelaburan untuk menjadi seorang graduan adalah tinggi maka gaji mereka mestilah selaras dengan tahap pendidikan mereka serta perbelanjaan yang telah dikeluarkan sehingga ke tahap itu.

“Oleh itu, gaji yang dibayar bagi para graduan perlu mempunyai kebolehan untuk menampung sara hidup mereka dan bukannya menyebabkan mereka kecewa dan bankrap pada peringkat umur yang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas hasil kajian yang mendapati, hampir semua majikan tidak sanggup memberikan gaji permulaan RM3,000 seperti yang dikehendaki oleh lulusan universiti.

Solomon berkata penetapan gaji minimum RM1,000 sebulan juga merupakan faktor majikan tidak prihatin kepada keperluan dalam menampung kos sara hidup khususnya bagi generasi muda yang menetap di ibu kota.

“Majikan enggan bayar RM3,000 kerana gaji minimum pun masih RM1,000. Kos kehidupan di bandar seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Baharu amat tinggi.

“Graduan memerlukan gaji permulaan yang lebih tinggi kerana pada umur yang muda mereka sudah terbabit dengan banyak hutang seperti PTPTN, kad kredit dan pinjaman peribadi atau pinjaman kereta serta kos penginapan dan makan minum,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan penetapan gaji bukan sahaja perlu dipertimbangkan untuk graduan muda menyara hidup malah untuk memastikan gaji yang diterima boleh disimpan selain meningkatkan prestasi sebuah organisasi menerusi motivasi pekerja dari aspek produktiviti.

“Gaji mestilah atau gaji yang mampu menyara kehidupan dengan mengambil kira kos kehidupan, keperluan asasi, ekonomi negara terkini serta baki wang untuk simpanan.

“Kalau majikan bayar gaji yang berpatutan kepada graduan, majikan boleh tuntut prestasi munasabah. Kalau, tidak mahu bayar gaji yang berpatutan maka prestasi organisasi pun tidak akan maju,” katanya.

Terdahulu, Jobstreet Malaysia melaporkan gaji permulaan di kalangan graduan yang rendah menjadi salah satu sebab kepada penghijrahan rakyat berkemahiran tinggi ke luar negara di Malaysia.

=EZY=