Categories
SELANGOR

Nasib MCA dalam BN ikut telunjuk Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MEI : Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim mengalu-alukan tindakan MCA Bahagian Sungai Besar untuk tidak meletakkan calonnya dan menggantikan wakil Umno Barisan Nasional bagi perebutan kerusi DUN Sekinchan pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) depan.

Beliau berkata, tindakan itu sekali gus membuktikan MCA sebagai sebuah parti yang hanya mampu mengikut telunjuk Umno bagi menentukan sebarang hala tuju parti itu.

“Sejak awal kita sudah tahu bahawa MCA yang berada dalam komponen BN tidak mempunyai hak untuk bercakap. Mereka hanya menjadi budak suruhan Umno.

“Kalau Umno mahu kerusi itu, mereka terpaksalah melepaskan dan itulah nasib MCA dalam BN,” katanya kepada pemberita di Sekinchan, semalam.

Terdahulu, Ketua MCA Sungai Besar, Kek Seng Hoi menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan kerusi DUN Sekinchan, selepas gagal merampas kerusi berkenaan daripada DAP.

Kenyataan sama turut dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional kawasan Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bertekad merampas semua kerusi itu.

Untuk rekod, DAP mempertahankan kerusi Sekinchan sejak tiga penggal lau.

Sedia mempertahankan kerusi itu, Suee Lim berkata, masyarakat Sekinchan tentunya bijak menilai kecermelangan dan prestasinya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Jika Umno meletakkan calon, saya akan berdepan mereka dengan syarat mereka menggunakan prinsip telus dan tidak gunakan cara kotor.

“Namun saya yakin, orang Sekinchan tahu siapa pemimpin bermusim dan orang politik yang bekerja sepanjang musim,” katanya.

=EZY=