Categories
SUKANKINI

Pantang menyerah kalah, PKNS FC bangkit ikat Kedah 4-4

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MEI: PKNS FC memulakan pusingan kedua Liga Super 2017 dengan penuh dramatik apabila bangkit di hujung perlawanan untuk mengikat Kedah 4-4 di Stadium Shah Alam.

Beraksi buat pertama kali pada waktu malam memberikan kelebihan buat PKNS FC yang bangkit pada lewar permainan untuk mengutip satu mata.

Seawal minit kedua, PKNS FC mula melancarkan serangan menerusi tandukan penyerang, Patrick Ronaldinho Wleh namun gagal menepati sasaran.

Sebaliknya Kedah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Ken Iiso Larsen yang berjaya menampan masuk hantaran Muhammad Syafiq Ahmad.

PKNS FC kembali memperkemas permainan dan akhirnya Patrick Ronaldinho berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Bermula dengan hantaran leret Lucas Sebastian Espindola, Patrick yang berjaya melepasi perangkap offside berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim sebelum dengan mudah menolak bola ke gawang.

Kedah tidak menunggu lama untuk kembali di depan 1-2 apabila Muhammad Syafiq berjaya menanduk masuk hantaran dari sebelah kanan pada minit ke-16.

Muhammad Syafiq terus melebarkan kedudukan Kedah kepada 1-3 pada minit ke-23 apabila dengan mudah menanduk sepakan penjuru yang diambil Sandro Da Silva.

Masuk minit ke-29, Larsen hampir menjaringkan gol kedua peribadi namun percubaannya sekadar melintasi gawang gol PKNS FC.

Bersambung babak kedua, Matias Nicolas Hadwa merapakan jurang jaringan kepada 2-3 pada minit ke-56 selepas berjaya meledak rembatan kencang apabila menyambut tolakan daripada Espindola.

Selang dua minit kemudian, Larsen sekali lagi hampir meledak gol keempat Kedah tetapi tolakkan beliau berjaya dihalang pertahanan PKNS FC.

Larsen terus hampa pada minit ke-78 apabila rembatannya sekadar menggegar jaring di tepi gawang PKNS FC meskipun berjaya melepasi perangkap offside.

Ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Espindola meruntuhkan kekebalan benteng pertahanan Kedah dengan menjaringkan gol penyamaan 3-3 buat PKNS FC.

Beliau memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang Kedah sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol gantian, Mohd Farhan Abu Bakar.

Masuk waktu kecederaan Sandro Da Silva muncul wira Kedah apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan PKNS FC menampan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti.

Ketika kemenangan seolah-olah memihak Kedah, giliran PKNS FC memperoleh sepakan penalti selepas Patrick Ronaldinho dijatuhkan dan ia berjaya disempurnakan Nicolas Hadwa.

Keputusan 4-4 ini menyaksikan PKNS FC kini mengumpul 11 mata.

=EZY=