Categories
SELANGOR

PAS Selangor kekal kerjasama pentadbiran negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MEI: Tiada sebarang keperluan berlakunya peralihan kuasa membabitkan gabungan komponen PAKATAN dalam pentadbiran di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad menafikan desas-desus kononnya peralihan kuasa bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

“Exco menjalankan tugas seperti biasa, tidak ada perubahan.

ISKANDAR SAMAD“Kita sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri sedia ada,” katanya, lapor portal media.

Pendirian sama turut dinyatakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, amanah rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu memutuskan pentadbiran sedia ada diteruskan.

“Sehingga kini kerjasama itu berjalan seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar dan Zaidy, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri daripada PAS adalah Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi.

Terdahulu, gabungan PAKATAN dengan kerjasama KEADILAN, DAP dan PAS mengekalkan kuasa di negeri dengan memenangi 44 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, pada PRU-13.