OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 13 MEI: Penganjuran Persidangan Speaker Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara disifatkan sebagai ‘Sirih Pulang ke Gagang’ kata, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata, pemilihan Selangor sebagai tuan rumah mengimbau kembali kepada penganjuran Persidangan Speaker-Speaker Persekutuan Tanah Melayu kali pertama yang diadakan di Bangunan Dewan Negeri Selangor, 16 Mac 1962.
“Pemilihan Dewan Undangan Negeri Selangor kembali selaku tuan rumah bagi persidangan kali ini adalah sangat signifikan selepas 55 tahun ia pernah berlangsung di Selangor dulu.
“‘Justeru, saya bersyukur kerana persidangan ini diteruskan lagi dalam usaha mengeratkan hubungan di antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Keberkesanannya, ia mampu menjadikan tugas Speaker dapat diperkasakan dalam memartabatkan amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan negara kekal terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian di Hotel Concorde, pagi ini.
Dalam perkembangan itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian dengan disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh.
Dewan Negeri Selangor menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun ini yang disertai delegasi Speaker dan Timbalan Speaker, masing-masing mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia.
Persidangan dilaksanakan sebagai wahana perkongsian ilmu selain menjadi platform untuk melaksanakan proses semak dan imbang dalam pengurusan pentadbiran.
Ia juga dilaksanakan bagi memperkukuh peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi menerajui pengukuhan demokrasi negara.
Tumpuan persidangan tahun ini turut mefokuskan kepada pembentangan kertas kerja, ‘Transformasi Parlimen Ke Arah Memartabatkan Wadah Demokrasi’ oleh Pandikar Amin.
Sementara itu, pembentangan kertas kerja ‘Toward A World Class Parliament: ‘Proposals And Prospects’ oleh Speaker DNS, Hannah Yeoh dan Panel Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
=EZY=