Tahun ini, Geramm menyambut Hari Kebebasan Media dengan nada penuh sayu dan hambar, selaras dengan perkembangan semasa yang menggarap ruang kebebasan bersuara menjadi lebih sempit, serta kemunculan kekangan-kekangan baru ke atas kebebasan media yang makin ketara di negara kita, sejak kebelakangan ini.
Ruang media sosial dan aplikasi komunikasi mudah-alih juga acapkali menjadi sasaran pihak berwajib, yang tanpa segan silu menjadi seakan polis minda, yang cuba mengawal apa yang difikirkan dan dikata.
Ramai yang telah ditangkap hanya kerana bersuara dan pihak berwajib mula mengeluarkan peraturan untuk mencengkam kebebasan bersuara.
Geramm ingin menegaskan di sini, yang kebebasan bersuara adalah salah satu dari tiang demokrasi yang menjadi dukungan sistem pemerintahan negara kita.
Dan ianya tidak patut dikawal selia atau dipantau oleh pihak berwajib. Pembantutan kebebasan berfikir dan bersuara hanya akan membantutkan minda rakyat dan menggugat demokrasi.
Rumah rakyat sendiri iaitu Bangunan Parlimen dimana wakil rakyat bersanding santai, seumpama menjadi raja kayangan, walaupun mereka sebenarnya dibayar dan diberi mandat untuk menjaga hal rakyat, telah mengadakan sekatat-sekatan kepada petugas media, kerana wakil rakyat takutkan pemantauan media ke atas mereka.
Ingin Geramm tegaskan disini yang pihak media bukan sahaja agen demokrasi tetapi pendukung agenda rakyat.
Mereka sepatutnya diberikan akses dan capaian untuk memantau para wakil rakyat dan menjadi perantara informasi dari rumah rakyat kepada rakyat. Menutup saluran ini adalah sama seperti membutakan rakyat.
Sehubungan dengan itu Geramm ingin menyeru pihak berkuasa untuk menghormati kebebasan berfikir dan bersuara dan membuang segala cengkaman terhadap kebebasan rakyat untuk menyatakn hasrat hati mereka di media sosial dan applikasi komunikasi mudah alih.
Lebih lantang lagi, Geramm mendesak pihak kerajaan untuk melucutkan kekangan-kekangan ke atas media di rumah rakyat, iaitu Bangunan Parlimen dan juga di mana-mana tempat lain di mana media perlu hadir sebagai mata kepada rakyat untuk memantau wakil rakyat.
Geramm ingin memberi peringatan kepada pihak kerajaan semasa yang mereka sepatutnya mentadbir dengan merealisasikan hasrat rakyat, dan sepatutnya berundur jika itulah yang rakyat mahukan. Bukan urusan kerajan untuk berkuasa selama-lamanya.
Kami juga berharap yang rakyat jelata tercinta tidak melepaskan batuk di tangga berkenaan isu kebebasan bersuara dan kebebasan media. Ini adalah hak kita semua dan patut diperjuangkan bersama.
Media tidak boleh berdiri sendiri, sepertimana rakyat tidak akan berjaya mengubah suasana jika tiada sokongan media dan lain -lain.
Hanya dengan pihak berwajib dan institusi yang independen serta ampuh, kerajaaan semasa yang bertanggungjawab dan sedar diri, media yang berani kerana benar dan rakyat yang melaungkan suara dan melontar undi dengnan bijak, akan kita membina negara yang lebih makmur dan aman.