Categories
KENYATAAN MEDIA

Prestasi peluang kerja Selangor antara 2014-2016 di bawah Azmin Ali

OLEH YIN SHAO LOONG
Sejak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar pada 2014, peluang kerja di Negeri Selangor telah meningkat melebihi 300,000 pekerjaan. Pembabitan wanita dan pekerja berkemahiran tinggi dalam pasaran kerja lebih baik di Negeri Selangor berbanding seluruh Malaysia.

Maklumat rasmi terbaru daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, bahawa antara 2014 hingga 2016, peluang kerja di Negeri Selangor meningkat sebanyak 305,300 pekerjaan, iaitu daripada 2,912,300 pekerjaan dalam 2014 kepada 3,217,600 pekerjaan pada 2016.

Pada tempoh sama, peluang kerja di Malaysia secara keseluruhannya menaik sebanyak 631,600 pekerjaan, bermakna pertumbuhan 305,300 pekerjaan di Negeri Selangor mewakili hampir separuh, atau 48.3 peratus daripada keseluruhan peningkatan peluang kerja di Malaysia antara 2014 hingga 2016.

PEKERJAWanita mencatat prestasi memberangsangkan dalam pertumbuhan pekerjaan di Negeri Selangor, yang mana mereka mengisi lebih separuh atau 55 peratus pekerjaan baharu di Negeri Selangor berbanding hanya 40 peratus pekerjaan baharu di seluruh negara.

Sehubungan itu, pembabitan wanita dalam tenaga kerja di Negeri Selangor meningkat daripada 40.3 peratus pada 2014 kepada 41.7 peratus pada 2016. Ini bermakna, apabila peluang kerja di Negeri Selangor berkembang, pembabitan wanita dalam pasaran kerja semakin meluas.

Negeri Selangor di bawah kepemimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin telah menyaksikan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi seperti pengurus, profesional dan juruteknik memasuki pasaran pekerjaan. Peluang kerja berkemahiran tinggi di Negeri Selangor turut meningkat melebihi 16 peratus dari 2014 hingga 2016, berbanding peningkatan nasional sebanyak 13.5 peratus dalam tempoh sama.

Menjelang 2016, hampir 40 peratus daripada 3.2 juta tenaga kerja di Negeri Selangor disifatkan sebagai berkemahiran tinggi. Satu pertiga daripada jumlah pekerja berkemahiran tinggi Malaysia bekerja di Selangor.

Statistik ini menunjukkan Negeri Selangor adalah negeri yang menyediakan peluang dan berkemahiran.

Ia menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menerusi inovasi ekonomi digital dalam inisiatif Smart Selangor, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Selangor 2016.

Negeri Selangor terus menyediakan peluang memberdaya golongan wanita untuk terlibat dalam peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan dinamik, yang mana membantu Negeri Selangor menjadi negeri serantau dan berperanan selaku pemain utama dalam rangkaian perdagangan ASEAN.

* YIN SHAO LOONG adalah Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor