Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Putrajaya perlu belajar politik matang di Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 MEI : Putrajaya disaran mencontohi amalan politik matang yang diamalkan di Selangor bagi membolehkan prinsip demokrasi negara terus terjamin pada masa depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, pentadbiran Umno Barisan Nasional (Umno BN) di Putrajaya menghalang prinsip demokrasi itu berkembang positif di negara ini.

“Terlalu lama berkuasa menjadikan pemimpin Umno BN hilang fokus. Di negara maju, untuk kebaikan rakyat kuasa digilir-gilirkan antara parti kerajaan dan pembangkang.

“Kini kita ada contoh di Selangor. Semenjak kuasa pemerintahan digilirkan kepada Pakatan Rakyat, amalan rasuah peringkat tinggi dapat dikawal.

“Kemudahan diberi kepada Ketua Pembangkang. Kebebasan diberi kepada pembangkang dan rakyat. Inilah politik matang. Boleh belajar dari Selangor,” katanya di Facebook.

Lebih membanggakan katanya, ruang demokrasi dan ketelusan diamalkan di Selangor menjadikan negeri ini sebagai sebuah pentadbiran bersih dan bebas rasuah.

Perkara itu katanya dibuktikan menerusi pentadbiran amanah oleh barisan kepimpinan wakil rakyat negeri yang dipimpin, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kini tiada amalan rasuah seperti Menteri Besar Umno BN. (Sebaliknya) rizab negeri terus meningkat dan berbagai program kebajikan rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Untuk rekod di peringkat Putrajaya, Kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan antara pentadbiran paling keras menyekat ruang demokrasi negara.

Ia susulan pendakwaan berterusan di bawah Akta Hasutan terhadap pimpinan pembangkang, aktivis, mahasiswa dan peguam.

=EZY=