OLEH NAZLI IBRAHIM
MERU, 8 MEI: Masyarakat bukan Islam melahirkan rasa kagum dengan keterbukaan pengurusan Masjid Asy-Syarif, di sini apabila membenarkan masyarakat bukan Islam memasuki ke kawasan masjid bagi menghadiri dan menyertai programyang diadakan di masjid itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman, berkata, beliau mendapat maklum balas itu selepas beliau berucap dalam satu majlis diadakan di sebuah gereja tidak berapa lama dahulu.
“Pernah satu ketika saya berucap di sebuah gereja di hadapan tidaklah ramai, cuma dua-tiga ribu orang sahaja. Saya jelaskan kepada mereka masjid seperti masjid Asy-Syarif juga membenarkan bukan Islam memasuki masjid di ruang-ruang tertentu. Mereka amat kagum dan ‘tabik spring’,” katanya.
Abdul Rani berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Karnival 100 Tahun Masjid Asy Syarif Meru, Kampung Meru di sini, hari ini.
Jelasnya, selain itu, Masjid berusia seratus tahun itu juga cukup dikenali hingga ke luar Selangor dengan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk melibatkan masyarakat bukan Islam.
Sementara itu, pelbagai acara dijalankan pada karnival dua hari itu dengan melibatkan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat.
Antara yang menarik perhatian termasuklah, pertandingan skate board dan video game bola sepak yang lazimnya menjadi kegilaan golongan belia masa kini.
Karnival dihadiri ribuan masyarakat tempatan itu turut menyediakan pelbagai gerai jualan yang menarik.