Categories
SUKANKINI

Red Ants tekad sekat Harimau Selatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: PKNS FC bertekad menyaingi asakan Johor Darul Ta’zim dalam usaha memburu kemenangan menerusi pertemuan di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Walaupun mengakui sukar, jurulatih PKNS FC, E Elavarasan berkata, ia tidak mustahil dan beliau bersedia mencongak formula sesuai bagi menyekat JDT yang bakal menurunkan penyerang baru, Mohammed Ghaddar.

Katanya, pengalaman bertembung JDT dalam beberapa perlawanan musim lalu serta aksi di Larkin, Johor, pada 15 April lalu menjadi azimat penting menyusun strategi berkesan melumpuhkan pergerakan anak buah Benjamin Mora.

“Berdasarkan keputusan perlawanan dengan JDT sejak musim lalu, sesiapa yang menang pasti dengan kelebihan tipis, jadi itu tunjukkan kami ada kemampuan bersaing dengan mereka.

“Sudah tentu jika kami amalkan permainan terbuka berdepan JDT, ia akan jadi masalah besar kerana semua maklum kualiti yang mereka ada di bahagian serangan, tambahan mereka baru sahaja dapatkan Ghaddar dari Kelantan.

“Saya akan lebih tekankan kepada formasi bertahan, namun kami akan tetap cari ruang lakukan serangan jika mendapat peluang dan berdasar kemampuan pemain, mungkin kami boleh raih sesuatu daripada JDT nanti, sekurang-kurangnya satu mata, ” katanya.

Walaupun berpandangan aksi di Stadium Shah Alam tidak banyak mendatangkan perbezaan, namun Elavarasan mengakui sedikit terasa ekoran ketiadaan Gonzalo Soto di bahagian pertahanan serta ketua pasukan, Safee Sali yang tidak boleh diturunkan apabila berdepan JDT berdasarkan perjanjian.

PKNS SINGAPORE (2)Katanya, PKNS FC akan mempertaruhkan kelibat penyerang Patrick Ronaldinho dan Matias Jadue Hadwa selain dibantu Lucas Espindola sebagai perancang di bahagian tengah.

“Aksi bertemu JDT dilihat penting kepada semua pemain import kerana mungkin menjadi penentu masa depan mereka bersama pasukan.

“Buat masa ini, walaupun ada tiga pemain import baru menyertai pasukan dalam sesi pemilihan, saya belum buat sebarang keputusan dan masih memberi peluang kepada pemain import sedia ada membuktikan kemampuan mereka dengan aksi bertemu JDT sebagai medan terakhir,” katanya.

Selepas 12 perlawanan Liga Super, PKNS FC menduduki tangga kesembilan dengan 11 mata hasil dua kemenangan, lima seri dan lima kalah, manakala JDT di tangga teratas dengan 27 mata.